UMNO Bukan Lagi Seperti Dahulu – Hajiji

KOTA KINABALU: Umno bukan lagi seperti dahulu apa lagi sekarang kepimpinan parti di peringkat pusat dilihat tidak mempunyai arah politik jelas.

“Malang sekali kami tidak pasti ke mana hala tuju Umno sekarang. Kami kesal kerana pemimpin-pemimpin Umno Pusat tidak bersatu dan sering bercanggah pendapat,” kata Adun Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam kenyataannya semasa mengumumkan keluar dari parti hari ini, bekas ketua badan perhubungan Umno Sabah itu berkata soalan mengenai “arah untuk maju ke hadapan” bagi Umno selepas  PRU14 akan mendapat jawapan yang berlainan daripada setiap pemimpin parti pusat.

Menurut Hajiji, Umno Sabah merupakan badan perhubungan Umno yang terbesar di Malaysia dengan lebih 500,000 keahlian.

Katanya Umno Sabah sebenarnya berbangga dengan pencapaiannya terutama dalam pembangunan Sabah sejak berakhirnya penggiliran jawatan Ketua Menteri pada 2003 sehinggalah Mac 2018.

Katanya lagi pemerintahan Kerajaan BN tamat selepas PRU14 lalu walaupun di Sabah tiada satu parti yang sebenarnya memenangi pilihanraya tersebut.

Parti Warisan Sabah, katanya hanya membentuk Kerajaan negeri selepas adanya perpindahan sokongan dikalangan wakil rakyat.

Hajiji berkata PRU14 telah menukar dengan drastik landskap politik negara dan Umno Sabah menerima realiti baharu politik tersebut dengan cuba mengubahsuai sebaik mungkin.

“Sebagai sebuah parti yang pragmatik, kesejahteraan dan masa hadapan rakyat Sabah terus menjadi keutamaan Umno Sabah. Begitu juga komposisi penduduk Sabah yang unik,” katanya.

“Dalam penilaian kami tentang trend politik negara kita masa kini, kami juga mengambil kira kebajikan dan kesejahteraan ahli-ahli Umno dalam kalangan Bumiputera bukan Islam yang berjumlah lebih daripada 100,000 orang.

“Kita pasti akan kehilangan sokongan mereka jika terdapat sekecil manapun perubahan dalam arah politik kita,” katanya.

“Oleh itu kami telah membuat keputusan untuk mengambil inisiatif bagi mencatat masa depan politik kami sendiri.

“Kami akan memulakan dengan menjauhkan diri daripada Umno supaya kami bebas mempertimbangkan semua pilihan yang ada untuk mencorakkan masa depan kami dalam kumpulan politik baharu,” katanya.

Hajiji bagaimanapun berkata tidak ada paksaan bagi ahli-ahli Umno untuk menyertai mereka atau lebih tepat lagi meninggalkan parti itu.

“Kami berterima kasih kepada Barisan Nasional (BN) dan Umno kerana memberi kami peluang untuk berkhidmat kepada negara dan Sabah. Kami akan terus berkhidmat kepada negara melalui platform politik baharu yang akan diumumkan pada masa terdekat ini,” ujarnya.

“Kami meninggalkan Umno dengan hati yang berat namun dengan penuh kesedaran. Sejujurnya kami percaya keputusan untuk bebas daripada belenggu lampau adalah tepat untuk membolehkan pembaharuan politik demi kebaikan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu katanya sebagai wakil rakyat bebas mereka akan membantu kerajaan Persekutuan dalam membawa lebih banyak pembangunan ke Sabah terutama di luar bandar. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *