Keputusan UMNO Sabah dibuat secara bersama

AHLI Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.

KOTA KINABALU: Langkah diambil UMNO Sabah hari ini adalah keputusan secara bersama dalam kalangan pemimpin dan ahli parti itu di negeri ini.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata ia bukan keputusan peribadi, sebaliknya langkah keluar daripada UMNO sudah lama ditunggu ahlinya.

“Sebenarnya, rakyat dari kawasan kami mengucapkan tahniah atas keputusan yang dibuat kerana itulah yang mereka mahu,” katanya ditemui selepas sidang media pengumuman keluar parti lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, hari ini.

Azizah adalah antara lima Ahli Parlimen terbabit selain Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Mengenai dakwaan yang mengatakan tindakan pemimpin UMNO Sabah itu ada kaitan dengan kewangan, Azizah menafikannya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Timbalan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Bung Moktar Radin adalah satu-satunya pemimpin UMNO negeri yang tidak mengikuti langkah keluar parti.

Beliau menjelaskan hasratnya untuk meneruskan perjuangan UMNO di negeri ini yang diwujudkan sejak lebih 30 tahun lalu.

“UMNO bukan saja sebuah parti tetapi ia adalah satu pengembaraan yang mana ramai ahli akar umbi masih meletakkan harapan untuk membela rakyat terutama mereka di kampung.

“Apa yang penting siapa saja yang keluar, mereka memikul tanggungjawab yang besar di bahu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup, yang turut hadir pada majlis itu juga mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN).

“Kehadiran saya adalah untuk menyokong rakan yang keluar UMNO. PBRS juga buat perkara yang sama,” katanya.

Terdahulu, pada sidang media itu, seramai 21 daripada 25 Ketua Bahagian UMNO di Sabah turut mengumumkan keluar parti bersama kepemimpinan tertinggi UMNO negeri, berkuat kuasa hari ini.

Setakat ini hanya tiga belum berbuat demikian iaitu Ketua Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan; Datuk Raime Unggi (Tenom) dan Karim Wahid (Kalabakan), manakala Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan) difahamkan kekal dalam UMNO.

Semua Ketua Wanita dan Puteri di 25 bahagian UMNO Sabah turut mengambil langkah yang sama.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Hajiji berkata dua Ahli Dewan Negara mewakili UMNO Sabah iaitu

Semua Ketua Wanita dan Puteri di 25 bahagian UMNO Sabah turut mengambil langkah yang sama.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Hajiji berkata dua Ahli Dewan Negara mewakili UMNO Sabah iaitu Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Abdul Ghani Yassin juga menyertai mereka.

“Semua kami sekarang tidak berparti sehingga satu masa nanti apabila kami mengumumkan landasan baharu kami,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *