GBS diteruskan tanpa UMNO

KOTA KINABALU: Gabungan Bersatu Sabah (GBS) yang membentuk pakatan pembangkang di Sabah akan diteruskan tanpa UMNO Sabah berikutan tindakan pemimpin UMNO negeri yang keluar parti hari ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata usaha mengukuhkan GBS dengan bekas pemimpin UMNO terbabit yang kini menjadi wakil rakyat bebas akan dilakukan selepas keadaan politik sekarang reda.

“Berdasarkan perkembangan baharu ini, GBS akan diteruskan tanpa UMNO dan disambung semula dengan bekas wakil rakyat selepas semuanya selesai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO Sabah yang keluar parti hari ini.

GBS sebelum ini dibentuk dengan kerjasama PBS, UMNO Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) serta ADUN Bebas yang menyokong pembangkang.

Maximus turut menyambut baik keputusan berkenaan yang disifatkannya sebagai langkah yang berani UMNO Sabah.

“Mereka akhirnya membuat keputusan mengikut jejak PBS…bebas. Kit akan tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, PBS kekal dengan agendanya untuk mengukuhkan akar umbi parti dan memastikan kerajaan negeri mentadbir secara bertanggungjawab.

Katanya, PBS akan menyokong apa yang baik untuk rakyat dan menentang apa yang menyebabkan kemusnahan kepada Sabah.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata apa yang penting ialah melindungi Sabah daripada pencerobohan warga asing dan usaha membersihkan negeri daripada pendatang tanpa izin.

Mengenai sama ada PBS sedia mengkaji hubungan dengan kerajaan Pusat dan negeri, beliau berkata perkara itu akan dipertimbangkan selepas mengambil kira pertimbangan akar umbi dan menilai semula manfaatnya kepada rakyat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *