Ada yang tidak kena dengan UMNO Sabah – Abdul Rahman


KOTA KINABALU: Tindakan pemimpin UMNO Sabah mengambil keputusan keluar parti hari ini memberi isyarat ada sesuatu yang masih tidak kena dengan UMNO sekarang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata hala tuju parti itu masih terumbang-ambing.

“Banyak isyarat yang datang daripada pelbagai pihak atasan mengelirukan akar umbi. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap ke tengah.

“Enam bulan berlalu, UMNO masih tidak mampu untuk memberi isyarat yang jelas ke mana hala tuju parti ini mahu dibawa.

“Dalam konteks Sabah, keunikan politiknya gagal dibaca oleh UMNO pusat pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain tiada usaha libat urus atau ‘engagement’ yang kukuh secara berterusan sejak PRU-14,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, selepas ini ramai akan menuding jari, namun tidak ramai yang akan mengaku bahawa kecelaruan hala tuju UMNO adalah antara penyebab pemimpin UMNO Sabah membuat keputusan untuk keluar parti.

“Sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO, saya tidak terkejut dengan tindakan pemimpin kanan UMNO Sabah yang keluar parti. Saya tidak salahkan mereka. Itu hak mereka apabila mereka sudah menimbang semua aspek politik Sabah,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *