Sebahagian laluan projek Lebuhraya Pan Borneo mendap

BINTULU: Hujan lebat berterusan sejak jam 4 petang menyebabkan sebahagian daripada laluan projek Lebuhraya Pan Borneo, di sini yang sedang dalam pembinaan mendap semalam.

KEADAAN jalan menghubungkan Tatau – Bintulu runtuh sejak petang semalam. – ihsan pembaca

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu menyebabkan sebahagian laluan di Kilometer 48 Jalan Bintulu-Tatau mengalami kerosakan teruk, selain menjejaskan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kerja-kerja pembinaan laluan lencongan sedang giat dijalankan pihak kontraktor.

Katanya, tindakan segera itu bagi memastikan kelancaran aliran trafik di lokasi kejadian, selain kemudahan penduduk setempat memandangkan ia laluan penghubung utama Bintulu dan Sibu.

KEADAAN jalan menghubungkan Tatau – Bintulu runtuh sejak petang semalam. – ihsan pembaca

“Ketika ini, kontraktor yang terbabit dalam Projek Lebuhraya Pan Borneo sedang berusaha membina laluan sementara dalam mengurangkan kesesakan trafik di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Bagaimanapun, katanya, pengguna jalan raya sama ada dari arah Bintulu atau Sibu dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif di Kuala Balingian-Kuala Tatau bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Jalan yang pada mulanya hanya mengalami gelongsoran serta runtuhan pada laluan kiri itu runtuh sepenuhnya pada jam 6 petang semalam hingga menyebabkan ia tidak dapat dilalui semua kenderaan.

“Laluan yang runtuh dan mendap itu terletak berhadapan Rumah Panjang Jiram berhampiran Pekan Tatau,” katanya.

Sementara itu, tinjauan NSTP di lokasi kejadian mendapati syarikat kontraktor turut menempatkan pekerja di kawasan berkenaan bagi mengawal lalu lintas dan atas faktor keselamatan.

Difahamkan, syarikat kontraktor turut menempatkan petugas geoteknikal bagi memantau pergerakan tanah di lokasi kejadian. – Berita Harian

KEADAAN jalan menghubungkan Tatau – Bintulu runtuh sejak petang semalam. – ihsan pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *