PBS Persoal Rasional Penyambungan Tempoh Khidmat TYT

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri yang dikatakan akan meminda Perlembagaan Negeri demi melanjutkan tempoh perkhidmatan Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

“Apakah terdapat agenda tersembunyi?” soal Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai.

Joniston Bangkuai

Menurutnya Yang di-Pertua Negeri sekarang telah berkhidmat selama dua penggal iaitu tempoh paling maksima sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

“Apa yang tidak kena dengan peruntukkan undang-undang sedia ada ini? Adakah dengan penyambungan tempoh khidmat Yang di-Pertua Negeri sekarang akan membawa kebaikan tambahan kepada rakyat?” tanya beliau lagi.

Katanya, sebarang pindaan terhadap perlembagaan haruslah menjurus kepada apa yang memanfaatkan rakyat dan “bukannya kepada pihak tertentu sahaja.”

Joniston berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini di sini bagi mengulas spekulasi hangat bahawa sidang DUN khas pada 13 Disember nanti ialah bagi tujuan meminda perlembagaan negeri untuk melanjutkan tempoh khidmat Yang di-Pertua Negeri sekarang yang akan tamat pada hujung tahun ini.

Joniston berkata tempoh dua penggal (lapan tahun) yang diperuntukkan adalah lebih daripada memadai dan ianya akan memberi peluang kepada tokoh lain menerajui jawatan tersebut dan menyumbang kepada pembangunan Sabah.

Joniston (dua dari kanan) berbincang mengenai isu ini dengan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (kiri), Timbalan Presiden – Datuk Jamilah Sulaiman (kanan) dan Datuk Dr Yee Moh Chai (tiga dari kiri) serta Setiausaha Agung Datuk Jahid Jahim (dua dari kiri). Gambar Ehsan Ibupejabat PBS

“Malahan, tempoh Yang Di-Pertuan Agong pun tertakluk kepada satu penggal sahaja sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Joniston berkata sekiranya tempoh khidmat Yang di-Pertua Negeri tidak dibataskan oleh undang-undang, ia sudah seakan mirip kepada kesultanan.

“Kita perlu mengambilkira sentimen akar umbi di Sabah,” katanya.

Berdasarkan kepada rentetan peristiwa bermula 10 Mei lalu, katanya tidak mustahil orang ramai akan mengesyaki terdapat konspirasi untuk mencemarkan kedaulatan perlembagaan negeri Sabah.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *