Nelayan curi coklat, pencuci mulut dipenjara 12 bulan

KOTA KINABALU: Seorang nelayan dipenjara 12 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri 47 keping coklat dan dua botol pencuci mulut di sebuah pasar raya.

IBNO (kanan) dipenjara 12 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencuri 47 keping coklat dan dua botol pencuci mulut di sebuah pasar raya. – NSTP/Edmund Samunting

Majistret Stephanie Sharron Abbie memerintahkan tertuduh, Ibno Hashim Asmad, 39, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tambahan selama enam bulan penjara, jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Menurut kertas pertuduhan, Ibno didakwa mencuri coklat Cadbury dan pencuci mulut jenama Listerine yang bernilai keseluruhan RM407.29 itu dari Pasaraya Servay KK Plaza, di sini, kira-kira jam 9.30 malam, 7 Disember lalu.

Tertuduh dikatakan memasukkan semua barangan berkenaan di dalam beg sandang yang dibawanya sebelum disedari pengawal keselamatan pasar raya berkenaan.

Pengawal keselamatan yang curiga dengan kelakuan tertuduh bertindak menghampirinya dan berlaku pergelutan sebelum berjaya menahannya.

Tertuduh kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah mencuri ubat jenis Pristin Omega-3 Fish Oil bernilai RM376.82 dari sebuah farmasi di Taipan, Inanam,.

Vun Chau Lin, 58, yang tidak diwakili peguam, dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.52 petang, 7 Disember lalu.

Vun diarahkan supaya menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan kedua-dua kes dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit manakala Ibno diwakili peguam Rhubaica Munira dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – Berita Harian


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *