Belum ada tuntutan wang tebusan nelayan diculik – Polis Sabah

KOTA KINABALU: Polis belum menerima panggilan bertujuan menuntut wang tebusan daripada kumpulan empat lelaki lengkap bersenjata api yang menculik tiga nelayan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan, 6 Disember lalu.

OMAR Mammah

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pengesahan terkini dari isteri salah seorang mangsa mengakui dihubungi oleh mangsa menyatakan mereka diculik dan di bawa ke satu tempat tidak diketahui di Filipina.

“Itu sahaja setakat ini dan belum ada permintaan lagi (wang tebusan),” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sementara ditanya mengenai kumpulan itu ada kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf, Omar berkata, pasukan keselamatan sedang menyiasat perkara berkenaan.

“Pasukan keselamatan sedang menyiasat identiti kumpulan yang melakukan penculikan itu,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, tiga nelayan dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19, Jari Abdullah, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mereka.

Pada 5 Disember lalu juga, jam 6.30 pagi, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata api ke atas bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 kru warga Indonesia di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Seorang tekong Didy Saviady, 40, cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan kumpulan terbabit manakala semua kru selamat.

Sementara itu di Sandakan, ibu kepada salah seorang nelayan yang diculik, yang hanya dikenali sebagai Juana, 54, berharap anaknya, Jari dapat dapat diselamatkan dengan segera kerana hanya dia yang menyara keluarga mereka.

“Jari banyak membantu untuk menyara keluarga…tetapi kini nasibnya tidak diketahui dan kami terumbang-ambing.

“Sudahlah rumah pun hendah dirobohkan kini anak pula hilang. Kami berharap pihak berkuasa dapat menemui anak kami dengan segera,” katanya ketika ditemui di Kampung Sawmill Bukit Sim-Sim, di Sandakan.

Dalam pada itu, Juana yang sebelum ini bekerja sebagai pembersih rumah atau amah dengan bayaran kira-kira RM30 kini tidak mampu lagi untuk bekerja selepas kejadian itu.

“Kami bingung dengan kejadian ini…bantulah kami agar Jari segera ditemui,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *