ADUN Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman hari ini umum sertai Parti Warisan Sabah

SANDAKAN, 10 Dis –  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau sebelum ini menjadi ADUN Bebas selepas keluar dari UMNO pada 1 Ogos lepas.

Pada sidang media di sini, Saddi berkata borang keahlian penyertaannya dalam Warisan akan beliau serahkan kepada Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam masa terdekat.

Katanya beliau sebelum ini telah berjumpa dengan Mohd Shafie menyatakan keputusan menyertai Warisan dan dia berlapang dada menerima kemasukan saya menyertai Warisan.

“Tiada syarat untuk saya menyertai Warisan dan saya hanya mahu fokus kepada pembangunan kawasan DUN Sukau dan kebajikan rakyat.

“Ini kerana jika terus menjadi ADUN Bebas, saya tidak dapat menunaikan harapan rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum yang lepas,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu adalah Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Warisan Arifin Asgali dan Ketua Bahagian Warisan Kinabatangan Mahmod Tahsan.

Pada PRU14, Saddi mewakili UMNO memenangi kerusi DUN Sukau dengan majoriti undi 1,628, mengalahkan tiga calon lain dari Warisan, Parti Harapan Rakyat dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah.

Dalam pada itu, Saddi turut memohon maaf kepada mana-mana pemimpin terdahulu semasa rejim Barisan Nasional, sekiranya keputusan yang diambil beliau ini tidak menyenangkan hati ramai pihak.

“Apapun tindakan yang saya ambil tentu ada pro dan kontranya. Dalam politik, tiada kawan dan lawan yang kekal, yang kekal adalah perjuangan untuk membela rakyat,” katanya.

Saddi berkata dalam tempoh lima bulan sebagai ADUN Bebas, beliau telah tertarik dengan visi kewujudan Warisan yang dipimpin oleh Mohd Shafie yang telah menggariskan dasar perjuangannya yang bermatlamatkan kepada kepentingan pembelaan seluruh rakyat Sabah tanpa mengira pegangan dan anutan agama serta suku kaum.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *