Pengerusi PKR Sabah Baharu Diumum Minggu Depan : Anwar Ibrahim

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ketua Cabang PKR Sabah di Hilton Kota Kinabalu. 


KOTA KINABALU: PKR dijangka menentukan kepimpinan parti itu diperingkat negeri Sabah selewat-lewatnya pada Selasa depan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim berkata biro politik parti itu akan bermesyuarat pada Selasa untuk membincangkan perkara berhubung pemilihan Pengerusi PKR Sabah yang baharu.

“Biro politik PKR bermesyuarat setiap Selasa, jadi mungkin pada Selasa malam (11 Disember) atau selepas itu kita akan mengumumkan kepimpinan PKR Sabah yang baharu.

“Kita sentiasa menghormati keputusan majoriti berkenaan dengan kepimpinan negeri,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Sabah di sini hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan Ketua Menteri merangkap penyandang Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew dan ketua-ketua cabang PKR negeri.

Sebelum ini Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri dilaporkan dicabar oleh Ketua Cabang PKR Tawau, Datuk Kong Hong Ming bagi jawatan Pengerusi PKR Sabah.

Difahamkan satu mesyuarat tertutup ketua-ketua cabang PKR Sabah telah diadakan baru-baru ini dengan majoriti dikatakan mahu Hong Ming menggantikan beliau menerajui kepimpinan PKR negeri.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan keputusan beliau bersetuju dengan suara majoriti didorong oleh perlembagaan parti, yang menyatakan dengan jelas bahawa presiden mesti berunding dengan para ahli diperingkat negeri.

“Kesemua sembilan negeri termasuk Sabah yang saya lawati setakat ini, walaupun saya tidak mengumumkan, tetapi dengan harapan majoriti (diperolehi daripada) ketua bahagian.

“Kecuali terdapat kes berkaitan kepimpinan yang timbul dan mungkin bertentangan atau bermasalah… tetapi saya tidak fikir ada masalah setakat ini dan sudah tentu tidak di Sabah,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *