Gaji tertunggak pemain Skuad Badak dibayar sebelum Krismas

KENINGAU: Gaji pemain skuad badak yang tertunggak lima bulan akan dibayar sebelum perayaan Krismas ini, kata Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony hari ini.

Memetik laporan Bernama, Peter berkata, Safa akan melangsaikan kesemua tunggakan pelbagai kepada pemain yang dianggarkan berjumlah RM6 juta.

“Ia termasuk gaji pemain, cukai pendapatan, caruman ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kita akan selesaikan perkara ini (hutang) demi untuk martabat negeri ini (Sabah),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Liga Bolasepak Kadazandusun dan Murut (KDM) Malaysia di sini.

Liga itu dianjurkan bersama Pertubuhan KDM Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah, yang disertai 32 pasukan dari seluruh negeri.

Peter, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata beliau akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk tujuan mencari mekanisme penambahbaikan pengurusan persatuan itu.

Beliau juga berkata akan mencari kaedah terbaik untuk menganjak status pasukan Sabah dari Liga Premier ke Liga Super dalam Liga Bola Sepak Malaysia.

Selain itu, beliau juga akan memberi keutamaan kepada pemain tempatan untuk beraksi dalam permainan di peringkat negeri mahupun kebangsaan, serta akan memastikan wujud lebih ramai pemain pelapis di negeri ini.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *