SMK Kundasang Baharu Bakal Dibina Dengan Kos RM43 Juta

Mohd Shafie bersama dengan orang ramai yang hadir semasa perasmian pusat pemprosesan nanas di Kg Kiau Nuluh, Kota Belud

KUNDASANG, 7 Dis – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang yang dikosongkan sejak 2013 kerana tidak selamat untuk diduduki, akan dibina semula di tapak baharu di Kampung Mesilau dengan kos RM43 juta.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan pusat telah menyediakan peruntukan untuk membina semula sekolah berkenaan dan proses tender projek itu sedang dilaksanakan.

“Kita sedia maklum bahawa sekolah ini sangat penting untuk pelajar di sekitar Kundasang dan alhamdulillah saya telah dimaklumkan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Sabah, Datuk Ruji Ubi bahawa peruntukan untuk projek itu telah disediakan.

“Oleh itu kita berharap agar sekolah ini dapat disiapkan dengan segera kerana pelajar di sekitar Kundasang kini terpaksa ke Ranau untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kubis 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedict.

Bangunan lama sekolah itu yang yang terletak satu kilometer dari pekan Kundasang, mula dibina pada tahun 1994 dan digunakan sepenuhnya sekitar 1996, menempatkan ratusan pelajar yang tinggal dari puluhan buah kampung sekitar Kundasang terpaksa dipindahkan bagi meneruskan pembelajaran mereka ke bangunan SMK Agama lama Ranau.

Namun kini difahamkan bangunan sekolah berkenaan juga tidak selamat digunakan ekoran kejadian gempa bumi di daerah berkenaan pada 2015.

Pada masa yang sama, Mohd Shafie juga meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk menaik taraf Dewan Kundasang yang kini sudah usang.

“Permintaan untuk menaik taraf dewan berkenaan telah dipohon sejak sekian lama (semasa kerajaan Barisan Nasional) dan hari ini kami luluskan peruntukan berkenaan kerana saya tahu keadaan dewan ini sudah usang dan perlu segera dinaik taraf,” tambahnya.

Beliau berkata selain itu kerajaan juga telah menyediakan peruntukan untuk menaik taraf beberapa jalan yang perlu dibaiki di sekitar Kundasang.

Terdahulu, Mohd Shafie merasmikan Pusat Pemprosesan Hasilan Nanas di Kampung Kiau Nuluh yang diusahakan kumpulan wanita di kampung berkenaan sejak 2015.

Ketua Menteri berkata pembabitan wanita khususnya golongan ibu di kampung berkenaan dalam menghasilkan produk berasaskan nanas sangat dialu-alukan dan kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian akan membantu bagi mempertingkatkan lagi produktiviti produk yang dihasilkan oleh golongan berkenaan.

“Kerajaan akan terus membantu usahawan di negeri ini termasuk dari segi prasarana. Hari ini juga saya telah menyumbangkan sebuah kenderaan kepada Pusat Pemprosesan Hasilan Nanas di Kampung Kiau Nuluh kerana sebelum ini mereka terpaksa menyewa kenderaan untuk memasarkan produk mereka di kawasan lain,” katanya.

–  BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *