Polis berjaya tahan tujuh suspek terlibat gaduh dan mencari tiga lagi suspek kes tikam di Tawau

TAWAU, 7 Disember 2018 – Polis kini menjejaki tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes serangan seperti yang diviralkan dalam media sosial ke atas seorang lelaki hingga menyebabkan mengalami kecederaan parah akibat dipukul dan ditikam dalam kejadian di Jalan Merdeka 3 Fajar, Tawau, 2 Disember lalu.

Tiga suspek terbabit, Usop atau lebih dikenali sebagai Ucop, 20an, Apeng, 20an dan seorang lagi suspek lingkungan 20an juga yang tak dapat dikenalpasti namanya dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian.

Selain tiga suspek itu, polis juga berjaya menahan beberapa orang lelaki bagi membantu siasatan manakala seorang lagi kini sedang menerima rawatan di Hospital Tawau setelah mengalami kecederaan dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Bin Hj. Marsus berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu masih menerima rawatan namun keadaannya dilaporkan stabil.

“Sebelum ini Polis telah melakukan beberapa risikan dan tangkapan terhadap beberapa individu yang disyaki terlibat sebelum berjaya mengenal pasti suspek yang lain,” katanya.

ACP Fadil berkata hasil siasatan awal yang dijalankan pihaknya, ketegangan yang berlaku akibat perselisihan faham dan tidak berpuas hati oleh kedua-dua kumpulan berkenaan, walau bagaimanapun siasatan Polis masih dilakukan.

Menurutnya, pihaknya juga dapat menyelesaikan kes tersebut dengan tertangkapnya beberapa individu yang dikehendaki dalam kes tersebut.

“Setakat ini keadaan sudah terkawal dan tiada lagi kekecohan justeru kita minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat,” katanya.

“Susulan kejadian berkenaan, mangsa berusia 23 tahun cedera parah akibat dibelasah dan ditikam sebelum bapanya datang ke balai untuk membuat laporan Polis.

“Justeru kita minta suspek yang dikehendaki ini tampil menyerah diri dengan segera bagi membantu siasatan.

“Kita juga meminta orang ramai termasuk ahli keluarga mereka yang mempunyai maklumat berhubung suspek lelaki ini diminta supaya tampil bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama pihaknya melancarkan gerakan mengesan suspek ini dan yakin mereka akan berjaya ditahan dalam masa terdekat.

“Kita juga mendapati kesemua suspek yang ditahan ini mempunya pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, jenayah kekerasan dan harta benda serta kesalahan Imigrisen.

“Saya memberi amaran dan mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi suspek atau sengaja mendiamkan diri walaupun tahu maklumat tentang mereka.

ACP Fadil berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada balai polis terdekat atau hotline Polis Tawau di talian 089-772121,

“Saya juga ingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan membelakangi undang-undang sekiranya berlaku rasa tidak puas hati dengan individu atau kumpulan tertentu.

“Sebaliknya jika berlaku masalah, maklumkan kepada Polis untuk tindakan lanjut supaya kejadian seumpama ini dapat dielakkan,” katanya.

Menurutnya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sumber : Facebook Pages Pois Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *