Pastikan Kawasan ESSZONE Terkawal – Mohd Shafie

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU — Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal, meminta pasukan keselamatan supaya meningkatkan tahap kawalan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (EssZone) bagi mengekang aktiviti jenayah di kawasan perairan negara.

Beliau berkata situasi di kawasan berkenaan perlu terus dipantau rapi berikutan kejadian seorang juragan warga Indonesia cedera ditembak sekumpulan lelaki lengkap bersenjata semasa menaiki bot tunda, Magtrans II, di perairan Pegasus Reef Kinabatangan, semalam.

“Saya sudah mengarahkan Pesuruhjaya Polis Sabah untuk memantau keadaan ini bagi memastikan keadaan (keselamatan di EssZone) terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pameran dan jualan produk tempatan Sabah, di sini hari ini.

Dalam cubaan rompakan kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Didy Saviady, 40-an, cedera di peha kira selepas sekumpulan empat lelaki, dengan menaiki bot laju, melepaskan dua das tembakan secara rambang sebelum menaiki bot tunda berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang berada di tingkat atas bot tunda berkenaan melepaskan 10 das tembakan suar ke arah suspek yang kemudian terjun ke laut dan melarikan diri dengan menaiki bot mereka.

Semasa kejadian itu, mangsa bersama 12 lagi kru masing-masing dua warga tempatan dan 10 warga Indonesia sedang dalam perjalanan dari Bintulu, Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

–  BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *