Saya Perlu Lantang Bersuara Untuk Kepentingan Sabah : Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Mengambil kira perasaan dan hak-hak rakyat negeri ini yang wajar dibela serta didengar oleh kepimpinan di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain perlu lantang dalam membangkitkan perkara itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sudah sampai masanya Sabah perlu merasai bukan hanya dasar tetapi ketelusan kerajaan Persekutuan dalam menunaikan beberapa perkara melibatkan kepentingan negeri ini.

“Saya lantang bersuara kerana saya tahu saya perlu selesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi seperti termaktub dalam perjanjian kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri ini. Saya sendiri telah memaklumkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hal ini.

“Belanjawan untuk negeri ini perlu ditingkatkan kerana kalau dilihat belanjawan baru-baru ini hampir RM300 bilion namun Sabah cuma mendapat agihan itu sebanyak RM5 bilion.. bayangkan, kita tahu keperluan kewangan itu penting untuk membantu Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2018 di Auditorium Utama Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata sebelum ini pegawai kerajaan Persekutuan di peringkat negeri telah menyuarakan cadangan agar peruntukan disalurkan terus kepada jabatan berkaitan bagi kelancaran serta memudahkan pelaksanaan tugas.

Katanya pendekatan itu harus diambil kira oleh kerajaan Persekutuan dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam untuk meneruskan program-program pembangunan yang sedang dan telah pun dirancangkan.

“Hubungan baik ini pastinya memberikan manfaat kepada kita terutama dalam aspek peruntukan dana pembangunan, penurunan kuasa serta pengembalian hak-hak rakyat Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hal ini secara langsung dapat merancakkan agenda reformasi dan pembangunan di negeri ini. Selaras dengan itu, semua penjawat awam hendaklah bersedia untuk menggalas tanggungjawab lebih besar sejajar dengan kelebihan dan manfaat diberikan kepada Sabah hasil hubungan baik ini,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *