Adik-Beradik Antara Ditahan Positif Dadah

Antara suspek yang berjaya ditahan oleh AADK Keningau pada operasi berkenaan. Gambar SNT/Ehsan AADK Keningau

KENINGAU: Dua adik-beradik antara yang ditahan dalam Ops Cegah yang dijalankan oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau di dua buah perkampungan dekat sini pada Isnin.

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata kedua-dua suspek yang ditahan berumur 37 dan 40 tahun disahkan positif dadah jenis Methamphetamine ataupun syabu selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Sementara itu, Azry berkata sepanjang operasi yang dijalankan itu, pihaknya berjaya menahan lima orang suspek keseluruhannya dan seorang daripadanya adalah wanita.

“Dalam operasi berkenaan, seorang suspek lelaki cuba melarikan diri sejauh 200 meter dari rumah kediamannya.

“Namun berjaya diberkas oleh pihak Penguatkuasa AADK yang bertugas.

“Operasi yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat dan risikan yang dibuat oleh pihaknya selama lima hari di lokasi sasaran,” katanya ketika dihubungi oleh pemberita di sini baru-baru ini.

Jelasnya kesemua suspek ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983 Pindaan 1998 kerana disyaki Penagih Dadah.

Sementara itu, beliau berkata pihak keluarga seharusnya memainkan peranan dalam melaporkan sebarang kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota keluarga masing-masing dan bukan beetindak melindungi kegiatan berkenaan.

Azry menyatakan demikian setelah mendapati terdapat segelintir ahli keluarga yang menyembunyikan kegiatan anak-anak dan keluarga terdekat daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak AADK dalam setiap operasi yang dijalankan oleh pihaknya.

“Tindakan undang-undang perlu diambil bagi memastikan mereka yang terlibat dirawat serta bagi mengelakkan mereka mengulangi perbuatan yang sama pada masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek yang berumur 19 hingga 40 tahun berkenaan diperintah untuk ditahan reman selama 10 hari oleh Hakim Mahkamah Majistret Keningau. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *