Tiga maut, 15 cedera dalam letupan CityOne Megamall

KUCHING, 4 Dis – Tiga lelaki maut dalam insiden runtuhan bangunan di pusat beli belah  CityOne Megamall, di Jalan Song di sini yang berpunca daripada leputan gas hari ini.

Mangsa tersebut adalah di antara 18 orang yang cedera dalam kejadian itu berlaku pada kira kira 3.30 petang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan dan Penyelamat, Tiong Ling Hii berkata dua daripada mangsa cedera itu masih terperangkap di dalam runtuhan bangunan.

“Kesemua mangsa lain yang cedera telah dikejarkan ke hospital umum untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata runtuhan bangunan itu berpunca daripada letupan gas dipercayai dari salah sebuah  kedai makan di pusat beli belah itu.

Saksi kejadian, George Sting, 39, berkata letupan itu berlaku di dalam sebuah kedai yang sedang diubah suai.

“Ketika kejadian saya sedang membeli pizza di hadapan kedai itu, secara tiba-tiba satu letupan kuat berlaku.

“Pekerja yang berada di dalam kedai tersebut kemudian lari bertempiaran, ada di antara mereka yang cedera teruk akibat melecur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Grace Lee, 23, pembantu jurujual di sebuah kedai telco berkata sejurus selepas letupan pihak pengurusan terus membuat pengumuman kecemasan mengarahkan semua pengunjung keluar dari premis di dalam pusat beli belah itu.

Wina Simion, 46, berkata ketika letupan dia nampak meja makan premis tersebut melambung ke siling.

“Ketika itu saya dan keluarga tengah makan, kami terkejut dengar bunyi letupan yang kuat, saya nampak ada meja melambung ke siling di depan mata,” katanya yang masih dalam keadaan terkejut.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *