Penjenayah paling cantik

Wajah Qingchen JingJing termasuk yang disiarkan polis (kiri)menyebabkan dia digelar sebagai penjenayah paling cantk.

BEIJING: Seorang wanita dianggap sebagai penjenayah paling cantik di China selepas dia ditangkap polis kerana menggunakan kejelitaannya untuk menipu dan memperdayakan lelaki supaya menyerahkan wang kepadanya.

Qingchen JingJing, 19, menyerah diri pada 28 November lalu selepas polis mengeluarkan waran tangkap dan turut menyiarkan wajahnya kepada umum.

Daily Mirror melaporkan, wanita cantik itu diburu kerana dipercayai terbabit dalam beberapa penipuan yang dilakukan di bar di seluruh Mianyang di wilayah Sichuan.

Bagaimanapun, gambar wanita itu menjadi tular di media sosial di China kerana ramai yang tertarik dengan wajahnya yang jelita.

Satu notis yang dimuat naik di lawan Twitter rasmi polis China turut memuat naik gambar wanita itu dengan mesej “Kecantikan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk mengelak daripada undang-undang.”

Di laman sosial Weibo pula, polis memuat naik mesej “Mempunyai wajah yang cantik bukanlah satu kesalahan tetapi adalah satu kesalahan menggunakan kecantikan untuk melanggar undang-undang.”

Gambar wanita itu dan mesej yang disampaikan polis segera menarik perhatian pengguna media sosial serta menjadikan ia tular.

“Dia boleh menipu saya pada bila-bila masa,” kata seorang pengguna lelaki.

“Dengan wajah secantik ini dia boleh mencari kerja mudah dan tidak perlu melakukan jenayah,” kata seorang lagi pengguna.

Polis memberitahu, Qingchen antara tujuh ahli sebuah kumpulan penipu yang mencari lelaki mabuk di bar dan restoran sebagai mangsa mereka.

Qingchen dipercayai menggunakan kecantikannya untuk menggoda lelaki berkenaan sebelum memperdayakan mangsa untuk menyerahkan wang kepadanya.

Polis mula menyiasat kegiatan kumpulan itu apabila seorang lelaki membuat laporan mendakwa dia kerugian beribu-ribu yuan selepas ditipu wanita terbabit.

Pihak berkuasa juga percaya, kumpulan itu sudah aktif sekurang-kurangnya setahun setengah.

Setakat ini empat anggota kumpulan itu termasuk Qingchen sudah menyerah diri kepada polis. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *