Sabah Capai Kejayaan Terbaik, Muncul Naib Juara Para SUKMA Perak

Ketibaan atlet Para Sukma Sabah disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sabah cipta pencapaian terbaiknya merangkul 36 emas, 28 perak dan 30 gangsa untuk muncul naib juara keseluruhan kejohanan Para Sukma 2018 di Perak yang berakhir semalam.

Tambah manis lagi, atlet dari Keningau, Jacklon Ganding 19 telah dinobat atlet terbaik kejohanan memenangi tiga emas dalam acara 100m, 200m dan lompat jauh kategori T37.

Awang Damit (berdiri tengah) dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Terrance Edward Pudin (berdiri paling kiri) bersama dengan atlet Para Sukma Sabah di LTAKK petang tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bukan itu sahaja, Jacklon turut memecahkan rekod kejohanan dalam ketiga-tiga acara tersebut.

Ketua Kontinjen Sabah yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Awang Damit Awang Anak ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.

“Sepanjang ingatan saya ini adalah pencapaian Sabah yang terbaik,” katanya yang menyambut ketibaan pulang sebahagian daripada kontinjen Sabah hari ini.

Dalam Para Sukma Sarawak dua tahun lalu, Sabah memungut 25 emas dan hanya menduduki tangga keempat secara keseluruhan.

Awang Damit turut memberi pujian kepada Jacklon dan begitu juga buat seluruh ahli kontinjen Para Sukma Sabah atas kejayaan luar biasa ini.

Jacklon Ganding, atlet terbaik Para Sukma Edisi 2018 di Perak. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jacklon ketika ditemui media berkata beliau agak terkejut semasa dianugerahkan olahragawan terbaik kejohanan.

Menurut Jacklon, Perak adalah Para Sukma yang ketiga baginya selepas Perlis pada tahun 2014 dan Sarawak pada 2016.

Beliau hanya menang perak dalam dua edisi Para Sukma sebelum ini.

Mendapat bimbingan jurulatih Tony Sawan, Jacklon kini bercita-cita mewakili negara ke Sukan Para Asia.

Catatan masa Jacklon dalam acara 100m adalah 12.39s dan 25.75s acara 200m dan jarak 5.39m dalam acara lompat jauh.

Seramai 98 atlet dibantu 61 pegawai bertanding dalam sembilan jenis sukan mewakili Sabah pada kejohanan yang bermula 21 November lalu.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *