30 warga Vietnam tangkap ikan secara haram dihukum pada 14 Dis

KOTA KINABALU, 29 Nov – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 14 Dis depan untuk menjatuhkan hukuman ke atas 30 warga Vietnam yang mengaku bersalah menangkap ikan secara haram di kawasan perairan negara ini antara Ogos dan Sept tahun ini.

Hakim Elsie Primus juga menetapkan 25 Mac hingga 27 Mac tahun hadapan sebagai tarikh perbicaraan ke atas 28 lagi warga Vietnam yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Warga Vietnam, kesemuanya lelaki, yang berumur antara 18-50an itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia antara Ogos dan awal Sept tahun ini di kawasan perairan Kudat dan Kota Kinabalu kerana disyaki menangkap ikan secara haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 15 Akta Perikanan 1985.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurun Nazifah Muhammad Iyen Atim manakala warga Vietnam diwakili peguam Dominic Chiew dan Hamida Ambo.

-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *