Dakwaan KPI Tahan Pembayaran Pampasan Projek Lebuhraya Pan Borneo Tidak Benar – Peter

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony menyangkal dakwaan Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri (PKAN) Datuk Henrynus Amin yang menuduh kementeriannya menahan semua pembayaran berkaitan pampasan tanah terlibat projek Lebuhraya Pan Borneo.

Peter mengatakan bahawa kesemua pembayaran yang melibatkan pampasan tanah dan bangunan yang terjejas oleh projek Lebuhraya Pan Borneo sudah dan sedang dalam proses pembayaran.

Beliau menyatakan beberapa aspek seperti bayaran pampasan yang melebihi RM1 bilion bagi tiga kawasan WP6, WP7 dan WP8 yang hanya 42 km panjang harus diteliti dengan lebih mendalam.

“Di Sarawak (pampasan) yang perlu dibayar bagi jalan sejauh 790km contohnya cuma sebanyak RM800 juta. Manakala di Sabah iaitu kawasan WP6, WP7 dan WP8 yang hanya  sepanjang 42km, kerajaan terpaksa membayar lebih RM1 bilion.

“Ini salah satu sebab kemungkinan berlaku sedikit kelewatan demi memberi ruang kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Tanah dan Ukur membuat pemeriksaan akhir.

Peter berkata dakwaan Henrynus bahawa Kementerian beliau tidak meluluskan pembayaran pampasan tersebut kepada yang terlibat juga tidak benar kerana Kementerian beliau kini dalam peringkat akhir membuat penelitian sekiranya berlaku ketirisan.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *