Sabah juara ragbi Piala Agong

KUALA LUMPUR: Sabah muncul juara Kejohanan Ragbi Piala Agong selepas menewaskan Kelantan 47-45 dalam aksi final di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hari ini.

Diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain All Blacks, Luke Mcalister, Sabah menamatkan penantian selama dua tahun bagi muncul juara hasil daripada empat penalti dan lima try dengan dua daripadanya disumbangkan Mohamad Safwan Abdullah.

“Saya fikir pada babak pertama, semua pemain bermain bermati-matian tetapi babak kedua menyaksikan pemain import kami sedikit keletihan.

“Kami bermain denghan baik pada babak pertama dan ia perlawanan yang sengit. Namun akhirnya kami tewas dengan keputusan yang tipis,” kata jurulatih Kelantan, Saizul Hafifi Noor.

Sementara itu, jurulatih Sabah, Brad Mika berkata kunci kejayaan pasukan itu adalah disiplin tinggi yang ditunjukkan barisan pemainnya sepanjang kejohanan berlangsung.

“Ia adalah kemenangan cukup bermakna buat Sabah, pemain menunjukkan tahap disiplin tinggi. Kamu dapat lihat, 10 minit terakhir kami kehilangan seorang pemain tetapi disebabkan semangat juang tinggi semua pemain, kami berjaya mengharunginya,” kata bekas pemain All Blacks itu.

Sementara itu, juara tahun lalu, Johor terpaksa berpuas hati dengan menamatkan saingan di tempat keempat.

Pasukan itu terpaksa akur tewas 47-48 di tangan Kedah dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat. – Berita Harian

PASUKAN Ragbi Sabah meraikan kejayaan muncul juara selepas menewaska pasukan Kelantan 47- 45 pada Pelawanan Akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong ke 36 di Padang Pavilion UPNM, Sungai Besi. – NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *