Wartawan dipilih Tokoh Maulidur Rasul Sandakan

ISWADIMAN Dominikus dipilih penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sandakan, hari ini. – Foto Hazshah Abdul Rahman

SANDAKAN: Penyampai radio dan wartawan bahagian Berita Ehwal Semasa RTM Sandakan, Iswadiman Dominikus, 44, dipilih penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sandakan, hari ini.

Difahamkan, beliau adalah penerima pertama bagi anugerah itu dalam kalangan warga media di Sabah.

Iswadiman berkata, beliau terkejut selepas dimaklumkan menjadi penerima anugerah itu dan berasa sangat terharu.

“Saya baru dimaklumkan pagi tadi. Memang sangat mengejutkan dan rasa terharu sebab tanpa disangka saya diberi anugerah ini. Inilah rezeki yang sudah ditakdirkan untuk saya.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memilih saya,” katanya ketika ditemui di Dewan Masyarakat Sandakan, hari ini.

Sepanjang tahun 2016 dan 2017 beliau menerbitkan rancangan ‘Santai Bersama Ustaz’ yang menarik ramai pendengar di saluran radio Sandakanfm.

Iswadiman turut banyak membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan dalam menghebahkan aktiviti keagamaan di daerah ini melalui penyiaran berita radio atau televisyen.

Beliau yang pernah menerima Pingat Kedaulatan Negara selepas membuat liputan ketika insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada tahun 2013, berkhidmat dengan RTM sejak 15 tahun lalu dan pernah dilantik duta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sabah pada 2014 hingga 2016.

Terdahulu, perarakan Maulidur Rasul dimulakan di Padang Bandar Sandakan sehingga ke Dewan Masyarakat yang disertai lebih 4,000 orang membabitkan 39 kontinjen. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *