Usaha perangi denggi di Sandakan diperhebat

SANDAKAN, 24 Nov – Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan mempergiatkan usaha memerangi wabak demam denggi di daerah ini berikutan peningkatan penyakit itu berjumlah 229 kes sehingga minggu lepas.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar berkata tumpuan di kawasan berstatus ‘Hotspot’ yang berlaku wabak melebihi 30 hari.

Katanya langkah kawalan dijalankan membabitkan pemeriksaan tempat pembiakan dari rumah ke rumah, semburan kabus atau ‘Fogging’, aktiviti pendidikan kesihatan, hebahan di kawasan kejadian kes demam denggi termasuklah aktiviti gotong-royong.

Menurutnya salah satu kawasan menjadi tumpuan adalah Kampung Forest di Batu 2 dekat sini yang mencatatkan kes wabak denggi tertinggi sebanyak 21 kes.

Kawasan ini banyak sampah-sarap yang dibuang merata-rata termasuk ke laut menyebabkan longgokan sampah di bawah rumah yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, katanya ketika ditemui pada operasi semburan kabus di Kampung Forest, semalam.

Melihat kepada peningkatan kes demam denggi di daerah ini sejak dua bulan lepas, Dr Johari menggesa semua penduduk di derah ini agar sama-sama memainkan peranan membendung wabak denggi.

“Memerangi aedes bukan sahaja di pihak kami tapi penglibatan masyarakat umum diperlukan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dewasa,” katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu memastikan persekitaran dalam dan luar rumah mereka bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes dengan melakukan pemeriksaan persekitaran rumah seminggu sekali.

Katanya bersihkan dan berus bekas yang mempunyai takungan air untuk memastikan tiada telur nyamuk aedes serta menggunakan aerosol atau racun pembunuh nyamuk di dalam rumah terutama pada waktu senja.

Dr Johari berkata sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit demam denggi seperti demam yang disertai dengan sakit kepala, sakit sendi ataupun ruam merah pada badan,segera dapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *