‘Isteri pergi nak gembirakan anak’

Suamai kepada mangsa yang maut, mendiang Annie Gideon, 56 , Toksin Toki, 60 (kanan) bersama Marcella Andrew, 33 , (kiri) berapa di kawasan bilik mayat, di Hosptital Kota Marudu. – FOTO Edmun Samunting

“DIA tidak mahu pergi kerana tiada dalam senarai awal (rombongan) tetapi kerana anak ikut (program hari keluarga di Kudat), dia (pergi juga) mahu gembirakan anaknya.”

Demikian kata Toksin Toki, 60, suami kepada Annie Gideon, 56, antara lima mangsa maut dalam nahas bas membawa rombongan staf dan ahli keluarga warga Politeknik Sandakan di Jalan Marak Parak, di Kota Marudu, petang semalam.

Toksin ketika ditemui Hospital Kota Marudu berkata, dia hanya tahu kejadian itu pada 5 petang semalam selepas menerima panggilan dari anak Annie hasil perkahwinan terdahulu, Sabrina Keang, 19, yang turut cedera dalam kemalangan itu.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan isterinya yang juga pensyarah Bahasa Inggeris di Politeknik Sandakan ialah 8 malam kelmarin melalui telefon apabila mangsa memaklumkan akan menaiki bas ke Kudat pada keesokan harinya.

“Dia berpesan supaya saya sertai mereka menginap di Marina Resort sepanjang program hari keluarga di Kudat.

“Saya dapat tahu berita sedih ini ketika mahu keluar ke Pekan Kudat untuk menyertai mereka,” katanya yang menetap di Sikuati, Kudat.

Toksin berkata, kali terakhir dia berjumpa Annie pada Rabu lalu sebelum isterinya pulang ke Sandakan selepas menghabiskan cuti selama seminggu di Tuaran.

“Anak tiri saya ikut dia ke Sandakan dan sebab itu dia sertai program untuk bawa anaknya jalan-jalan di Kudat. Bagi saya ini pengorbanannya untuk Sabrina,” katanya memaklumkan anak tirinya menerima rawatan di hospital sama kerana cedera anggota badan.

Sementara itu, anak saudara mendiang, Marcella Andrew, 33, menyifatkan ibu saudaranya seorang yang sangat baik hati dan menjadi harapan keluarga.

“Dia tidak pernah marah serta sentiasa tersenyum. Kami merancang bercuti ke Papar sempena Krismas nanti untuk mandi di sungai dan saya juga merancang untuk ke Sandakan melawatnya di sana,” katanya.

Mayat Annie yang selesai dibedah siasat di akan dibawa ke Kampung Dungang, Tuaran, sebelum disemadikan pada Isnin ini.

Dalam nahas 4.30 petang semalam, bas membawa 41 orang termasuk pemandu terbabas sebelum terbalik.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah dua lagi pensyarah, Suzannie Stephen Galaut, 34, dan Esther Michelle Anak Gunben, 39, selain Abdul Fattah Sallehhudin, 2, dan Mohd Khaizuzafarin Bedalib, 49. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *