Wanita kejar pesawat selepas tertinggal penerbangan

Gambar menunjukkan dua petugas menahan seorang wanita yang menceroboh landasan untuk mengejar pesawat.

Jakarta: Gara-gara tertinggal penerbangan, seorang wanita bertindak nekad dengan menceroboh landasan dan mengejar pesawat yang bersiap untuk berlepas.

Kompas.com melaporkan, penumpang berkenaan dilaporkan mengejar pesawat Citilink di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Bali menuju ke Jakarta pada Ahad lalu.

Wanita itu yang dikenali sebagai Hana sudah membuat daftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat pada waktu yang ditetapkan.

“Dia sudah mendaftar masuk pada jam 6.27 pagi dan sudah dijelaskan bahawa waktu menaiki pesawat adalah pada jam 6.50 pagi.

“Bagaimanapun, selepas tiga pengumuman dibuat dan panggilan terakhir penumpang itu masih belum datang ke pintu pelepasan,” kata ketua Komunikasi dan Undang-Undang Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Arie Ahsanurrohim.

Selepas beberapa minit pintu ditutup barulah wanita itu tiba tetapi dia sudah tidak dibenarkan menaiki pesawat.

“Petugas memberi penjelasan bahawa pesawat sudah menuju ke landasan untuk berlepas tetapi wanita itu tetap berdegil dan terus masuk ke kawasan landasan untuk mengejar kapal terbang itu.

“Tindakan itu menyebabkan petugas keselamatan di landasan terpaksa menghalang dan menahan wanita berkenaan,” katanya.

Arie berkata, selepas dipujuk akhirnya wanita itu bersetuju menaiki penerbangan Citilink pada waktu petang untuk ke Jakarta. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *