Sekolah dan badan keagamaan bukan Islam di Sandakan terima bantuan RM3.7 juta

Kenny Chua ketika merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Parti Keadilan Rakyat yang baru di Sandakan hari ini.

SANDAKAN, 22 Nov – Sebanyak 34 sekolah jenis kebangsaan Cina dan tadika serta 21 badan keagamaan bukan Islam di daerah ini menerima bantuan daripada kerajaan negeri berjumlah RM3.7 juta.

Daripada jumlah bantuan itu, RM1.8 juta adalah untuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan tadika, manakala sebanyak RM1.9 juta untuk gereja, tokong dan kuil hindu.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan negeri Kenny Chua Teck Ho dalam satu majlis di sini, hari ini.

Berucap pada majlis itu, Chua berkata walaupun kerajaan negeri baharu tertekan dari segi kewangan kerana ketirisan dan kebocoran oleh  kerajaan lama, bantuan kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam tetap diteruskan kerana prihatin pentingnya bantuan itu untuk tujuan pembangunan dan kerja pembaikan.

Katanya apabila kewangan Sabah menjadi lebih kukuh, jumlah peruntukan untuk bantuan itu akan ditingkatkan.

“Sebagaimana saranan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mahu melihat rakyat Sabah maju bersama tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Salah satu cara untuk mencapai hasrat itu ialah dengan meneruskan bantuan kewangan ini,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM34.6 juta kepada pembangunan dan pembaikan sekolah jenis kebangsaan Cina dan tadika serta badan keagamaan bukan Islam yang meningkat RM3.2 juta berbanding RM31.4 juta pada 2017.

Menurutnya secara keseluruhannya di negeri ini, sebanyak 275 sekolah jenis kebangsaan Cina, tadika serta 279 badan keagamaan bukan Islam menerima bantuan tersebut.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *