Sabah Rekod 351 Kes Kematian Akibat Kemalangan Jalan Raya

TAWAU – Sabah merekodkan 17,244 kes kemalangan jalan raya dengan 351 kematian pada tahun lepas, kata Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Abd Muis Picho.

Mendedahkan statistik itu, Muis yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sabah mahu penduduk di negeri ini mengambil iktibar daripada jumlah kemalangan yang banyak berlaku.

“Ambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian kemalangan yang tular, serta kongsi tips keselamatan  jalan raya dalam media sosial bersama anggota keluarga dan rakan, sebagai niat tidak mahu orang yang dikenali mengalami musibah sama,” katanya kepada pemberita pada program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Sedunia 2018 bagi peringkat negeri Sabah di sini, hari ini.

“Ibu bapa perlu melarang anak yang tidak memiliki lesen daripada membawa motosikal atau kereta, pantau anak ini, jika anak sudah mencapai umur dibenarkan, bawa mereka mengambil lesen di sekolah  memandu,” katanya menerusi pendidikan keselamatan jalan raya dapat mengurangkan kes kemalangan di negara ini.

Di samping itu, Muis berharap agar lebih banyak syarikat swasta serta badan bukan kerajaan tampil dalam menjayakan kempen keselamatan jalan raya pada masa hadapan.

Pada tahun lepas, Kota Kinabalu mencatatkansebagai daerah tertinggi kadar kemalangan  jalan  raya dengan 5,867 kes diikuti Sandakan (1,981), Penampang (1,513), Tawau (1,349) manakala Keningau  merekodkan korban tertinggi dengan 44 kematian daripada 782 kes kemalangan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *