85,000 bayi, budak mati kelaparan

Wadah Askri Mesheel, 11 bulan, dirawat di sebuah klinik di Aslam, Yaman, Minggu ini, mengalami kekurangan zat yang teruk. Bayi ini meninggal dunia lapan jam kemudian. – Agensi

LONDON: Sejak tiga tahun lalu, dianggarkan sehingga 85,000 bayi dan kanak-kanak di Yaman mati akibat kebuluran berikutan perang dan sebahagian besarnya adalah anak kecil yang berusia bawah lima tahun.

Berdasarkan data dikumpul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan Save the Children membuat rumusan kes kebuluran dan kekurangan zat membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Menurut laporan AlJazeera, Pertubuhan kemanusiaan itu mendapati 84,701 kanak-kanak kebuluran hingga mati antara April 2015 hingga Oktober 2018 akibat kekurangan makanan.

“Penemuan itu amat mengerikan, kira-kira 85,000 kanak-kanak di Yaman mati akibat kelaparan melampau sejak perang bermula.

“Kanak-kanak itu mati dalam keadaan penuh penderitaan selepas organ penting perlahan-lahan berhenti berfungsi sebelum berhenti sepenuhnya.

“Ibu bapa hanya mampu melihat kesengsaraan anak mereka sehingga mangsa meninggal dunia. Mereka tidak mampu untuk melakukan apa-apa,” kata Pengarah Save the Children di Yamen, Tamer Kirolos, dalam kenyataan semalam.

Sejak tentera pakatan diketuai Arab Saudi masuk campur dalam perang saudara Yaman bagi menghalang pengaruh Iran yang menyokong pemberontak Houthi pada Mac 2015, import makanan yang memasuki pelabuhan Hodeidah berkurang kepada 55,000 tan sebulan, hanya cukup untuk 4.4 juta penduduk, termasuk 2.2 juta kanak-kanak.

Menurut Program Makanan Dunia, sehingga 14 juta atau separuh penduduk Yaman menghadapi risiko kebuluran.

Laporan oleh Save the Children itu dikeluarkan ketika pertempuran bagi merebut Hodeidah antara pemberontak dengan tentera pakatan yang menyokong Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi masih sengit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hampir 10,000 terbunuh, sebahagian besarnya orang awam sejak Mac 2015 namun pertubuhan kemanusiaan lain percaya jumlahnya lima kali ganda lebih tinggi. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *