Peragut pula jadi ‘mangsa’

Sabrina Leites (kanan) ‘mengunci’ peragut, Magdeel da Silva di atas jalan sementara menunggu pihak berkuasa.

BRASILIA: Seorang peragut di Brazil nyata tersilap memilih mangsa apabila wanita bertubuh kecil disasarkan untuk mencuri telefon bimbit rupanya pengamal seni mempertahankan diri jujitsu.

Suspek, Magdeel da Silva, 18, menjerit dan menangis akibat ‘dikunci’ Sabrina Leites, 22, sepanjang mereka terbaring 20 minit atas jalan sementara menunggu pihak berkuasa sampai untuk menangkapnya, lapor Daily Mail.

Dalam video yang tersebar di media sosial, Da Silva didengar menjerit berulang kali ‘cukuplah, cukuplah’ manakala Sabrina sempat menunjukkan isyarat ‘bagus’ kepada orang yang merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.

Sabrina yang mengamalkan jujitsu sejak empat tahun lalu berkata, dia dihampiri suspek dan rakannya yang bermotosikal ketika mahu membuka pagar ke bilik kakaknya.

Portal berita tempatan, D24AM melaporkan, peragut kedua yang tidak dikenal pasti sempat melarikan diri, tetapi nasib Da Silva lebih malang apabila jiran Sabrina yang sedang memandu ketika kejadian berlaku, bertindak melanggarnya.

Sabrina kemudian menggunakan teknik jujitsu untuk menghalang Da Silva melarikan diri.

“Saya cuma berani melawan kerana melihat mereka tidak bersenjata. Jika mereka bersenjata tidak mungkin saya mengambil risiko itu,” katanya.

Da Silva didakwa atas tuduhan cubaan merompak. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *