Sembilan Orang Termasuk Tiga Wanita Ditahan AADK Di Kota Marudu

Antara penagih yang berjaya ditahan penguatkuasa AADK

KOTA MARUDU: “Jangan bawa dia lari bah tuan!” 

Begitulah rayuan seorang isteri yang bakal bersalin beberapa hari lagi semasa cuba menghalang pegawai penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah daripada menahan suaminya di Kampung Popok, kelmarin.

Suami wanita tersebut yang dikenali sebagai Kudoi, 34, pada mulanya tenang semasa membuka pintu rumah mereka yang diketuk oleh penguatkuasa AADK dalam gerakan Op Perdana bermula pada jam 12 tengah malam itu.

Suspek menganggukkan kepalanya ketika diberitahu dia akan ditahan oleh AADK tetapi selepas diminta memberitahu ahli keluarganya, suspek tiba-tiba histeria dan menjerit-jerit menyebabkan isterinya yang sedang tidur bersama dua anak mereka terjaga.

Menyedari apa yang akan berlaku, isteri suspek turut sama menjerit dan cuba menghalang penguatkuasa AADK daripada menahan suaminya.

Namun keadaan berjaya ditenangkan oleh beberapa penguatkuasa sebelum suspek menyerah diri.

Ketua Operasi AADK Sabah Erwan Roslan berkata ujian saringan air kencing keatas suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

“Operasi Perdana selama 5 jam ini AADK telah menahan sembilan individu termasuk tiga wanita kerana disyaki penagih dadah.

“Semua suspek berusia 18 hingga 32 tahun di tiga lokasi berasingan iaitu di Kampung Kerongkom, Kampung Bunsadan dan Kampung Pokok serta pusat hiburan di pekan Kota Marudu ,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Erwan, hasil saringan ujian air kencing kesemua suspek yang ditahan positif dadah jenis syabu.

Semua suspek ditahan dibawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sumber -SabahNewsToday

Antara penagih yang berjaya ditahan penguatkuasa AADK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *