Negara Filipina Enggan Terima

Datuk Mohd Azis Jamman

KOTA KINABALU, 16 Nov – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata isu kerajaan Malaysia enggan menghantar balik ‘Orang Tiada Kewarganegaraan’ (OTK) di Sabah ke negara asal tidak timbul kerana usaha seperti itu telah lama diusahakan kerajaan.

“Ada yang bertanya mengapa semua (OTK termasuk pemegang dokumen IMM13) tidak dihantar pulang sedangkan tiada sudah perang di Filipina? Ini bukan persoalan kita mahu hantar atau tidak. Isunya sekarang ialah Filipina tidak mahu terima.

“Kita mahu hantar mereka, tetapi apabila sampai sana (kerajaan) Filipina kata OTK itu bukan rakyat mereka. Jadi apa yang kita harus lakukan. Inilah masalah kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Dialog Undang-Undang Bersama Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Sepanjang dialog sehari berkenaan, beberapa tajuk ceramah disampaikan termasuk ‘Isu-Isu Pas IMM13 oleh Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Musa Sulaiman dan ‘Ísu-Isu Kewarganegaraan’ (Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Sabah Datuk Ismail Ahmad.

Katanya keadaan menjadi lebih kompleks dan sukar diselesaikan apabila OTK berkenaan berkahwin dan beranak pinak dan anak-anak mereka itu juga tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Kalau pemilik dokumen IMM13 pun kerajaan Filipina tidak mahu terima (sebagai rakyat mereka), lagilah anak mereka yang tidak memiliki dokumen,” katanya.

Sehubungan itu katanya, beliau gembira kerana kerajaan Pakatan Harapan dan kerajaan Negeri Sabah diterajui Parti Warisan mengambil inisiatif menganjurkan dialog berkenaan yang hasilnya boleh dijadikan landasan untuk menyelesaikan isu itu.

“Dialog ini adalah peluang untuk kita (memikirkan) bagaimana untuk bergerak ke hadapan. Jadi saya berharap selepas program ini, kita perlu mula bincangkan bagaimana untuk bergerak ke hadapan, terutama untuk menangani kumpulan masyarakat ini (OTK).

Bagaimanapun Mohd Azis kesal kerana Anggota Parlimen dan ADUN Pembangkang di Sabah, kecuali ADUN Kawang Datuk Gulam Haidar Khan, tidak menghadiri sesi ceramah ketua-ketua jabatan berkaitan isu imigresen dan JPN pagi ini.

“Terutama (Datuk) Dr Jeffrey Kitinganlah (ADUN Tambunan). Dialah yang seringkali mengatakan Warisan memberi kad pengenalan kepada (warga asing). Ini adalah platform terbaik bagi beliau melihat secara nyata apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Mengenai cadangan memberikan dokumen IMM13 kepada warga Rohingya, Mohd Azis berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan itu berdasarkan pengalaman yang dilalui Sabah memberikan dokumen itu kepada pelarian perang Filipina.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *