JPN Diminta Selesaikan Masalah Kad Pengenalan/Surat Beranak Masyarakat Long Pasia

Mohd Shafie bersalaman dengan murid-murid sekolah dari masyarakat Lundayeh setibanya di perkarangan SK Long Pasia.

SIPITANG: Pihak berwajib diseru untuk menyelesaikan masalah masyarakat tempatan suku kaum Lundayeh di Long Pasia yang tidak mempunyai sijil lahir mahupun kad pengenalan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jabatan berkaitan perlu menangani permasalahan berkenaan bagi membantu rakyat tempatan yang mempunyai kesukaran untuk mencapai perkhidmatan pendaftaran.

“Saya mahu keadaan ini diatasi kerana sebelum ini kita nampak orang luar mendapat kad pengenalan tetapi orang tempatan pula tidak mempunyai kad pengenalan dan surat beranak.

“Saya difahamkan oleh penduduk setempat tadi, bila saya sampai mereka mengadu kerana mereka ini orang orang tempatan bukannya Pendatang Tanpa Izin.

“Walaupun ini bukan kuasa kerajaan negeri saya akan minta kerjasama daripada pihak yang berwajib untuk datang ke sini (Long Pasia) membuat pendaftaran kepada warga tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Kunci Bangunan dan Bilik Darjah Baru dengan kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS) di bawah projek Sekolah Daif SK Long Pasia dan e-Desa Kampung Long Pasia sempena Lawatan Rasmi Ketua Menteri ke Long Pasia dan Meligan.

Mohd Shafie menegaskan bahawa penduduk Long Pasia yang terjejas tidak dapat datang ke Kota Kinabalu untuk membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara kerana jarak yang jauh dan fasiliti jalan raya yang mencabar.

Jelasnya usaha tersebut adalah untuk memastikan supaya kebimbangan beliau terhadap masyarakat amnya dan anak-anak Long Pasia khusunya ditangani sebaik mungkin.

“Saya bimbang anak-anak di sini iaitu menjoriti masyarakat Lundayeh tidak mempunyai kad pengenalan dan menyukarkan urusan pendidikan mereka.

“Bila berhasrat masuk ke universiti, mereka tidak boleh masuk kerana tidak ada surat beranak mahupun kad pengenalan yang boleh mengiktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia dan bukannya pendatang,” jelasnya.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *