Jam paling mahal di dunia

GENEVA: Jam tangan vintaj unik dilelong dengan harga 3.915 juta franc Swiss (RM16 juta) di Geneva, kata syarikat pembida Sotheby’s seterusnya mencipta rekod dunia baru selepas sesi bidaan yang hangat.

Dibuat pada 1952 oleh Patek Philippe dan dibeli empat tahun kemudian oleh Asprey di London – satu-satunya dijual syarikat berkenaan – jam tangan Swiss itu adalah kronograf kalendar kekal.

Jam digelar ‘The Asprey’ itu yang paling diburu antara 250 jam tangan dan jam saku, termasuk daripada Cartier, Rolex, dan Vacheron Constantin, ketika bidaan itu.

Penjual yang tidak dikenal pasti identiti itu membelinya ketika lelongan pada 2006 untuk harga rekod ketika itu, 2.2 juta franc Swiss (RM9.1 juta), manakala Selasa lalu ia dianggarkan dibida sekitar AS$2 juta hingga AS$4 juta (RM8.3 juta hingga RM16.8 juta).

Identiti pembeli tidak diketahui, namun orang yang berjaya membidanya dilaporkan seorang wanita Asia yang memakai seluar jean koyak yang duduk di bahagian belakang bilik bidaan dan didengar bercakap Cina.

Ketika mengesahkan penjualan itu, ketua global bahagian jam Sotheby, Sam Hines berkata: “Rekod dunia untuk Patek Philippe 2499. Dijual.”

Pemilik asal jam itu yang tanda namanya RC diukir pada belakang bekas jam berwarna emas itu, dipercayai menerimanya sempena ulang tahun kelahiran yang ke-21. Namun identitinya juga tidak didedahkan.

Jam itu dibawa untuk promosi pemasaran di Asia dan Dubai sebelum penjualan, terletak atas tali kulit berwarna perang selain memaparkan hari serta tarikh, jam randik dan fasa bulan.

Terdahulu, sebelum bidaan dimulakan Hines memberitahu Reuters: “Memang kami mempunyai pelanggan di China. Citarasa pembeli kini lebih konservatif dalam usaha nampak kurang menunjuk-nunjuk dan menjolok mata.

“Disebabkan itu, jam tangan vintaj lebih sesuai dengan citarasa terkini.”

Secara keseluruhannya, jualan jam tangan meraih 12.2 juta francs, (RM51 juta), kata Sotheby’s. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *