Amanat terakhir Pairin buat PBS

KOTA KINABALU: Selepas 33 tahun memimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan hari ini menyampaikan ucapan dasar terakhirnya yang penuh beremosi sempena perasmian Kongres PBS ke-33, di sini.

Beliau akan menyerahkan jawatan Presiden PBS kepada timbalannya selama 24 tahun, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang tidak dicabar pada pemilihan parti itu, kali ini.

Dalam amanatnya, Pairin, 78, mengimbau liku perjalanan parti diasaskan beliau pada tahun 1985, bermula sebagai pembangkang dan menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1986, tetapi keluar gabungan itu pada 1990 sebelum kembali bersama BN pada 2002.

Bekas Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, sepanjang lebih tiga dekad penubuhannya, PBS tidak pernah berganjak daripada perjuangan berasaskan 10 teras utama yang telah menjadi ‘darah daging’ pemimpin serta ahli parti.

“Daripada 10 teras itu, sekurang-kurangnya empat amat dekat di hati kita iaitu perpaduan, masyarakat berbilang kaum, integriti politik dan hak-hak Sabah serta rakyatnya,” katanya.

Pairin turut mengimbau keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang tidak berpihak kepada BN, sekali lagi memaksa PBS meninggalkan lagi gabungan itu untuk meneruskan kelangsungan perjuangan parti.

“Pada PRU-14, seperti kebanyakan parti komponen BN yang lain, pencapaian PBS kurang memberangsangkan. PBS hanya menang satu kerusi Parlimen berbanding lima pada PRU-13 dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Namun ini bukan masa menuding jari dan menyalahkan sesiapa. Kini masanya untuk fokus kepada masa depan PBS, perbaiki kesilapan lalu dan jadikan ia panduan untuk hadapi pilihan raya akan datang. Lima tahun bukan lama, kita harus bertindak sekarang,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang disifatkannya belot hingga gabungan PBS bersama BN dan dengan sokongan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak dapat membentuk kerajaan di Sabah.

Katanya, PBS dan BN berjaya menubuhkan kerajaan di Sabah selepas PRU-14 namun harapan hancur apabila UPKO ‘melompat’ dan bergabung dengan WARISAN untuk menubuhkan kerajaan.

“Bagi PBS, keadaan politik Sabah adalah disebabkan oleh ‘pembelotan’ UPKO, sedangkan mereka telah menandatangani komitmen untuk terus berjuang bersama PBS dan PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) pada Pemukiman Tatap BN Pemimpin Tertinggi ketiga-tiga parti, awal tahun ini.

“Setelah menang beberapa kerusi pada PRU-14 menggunakan platform BN, berbekal manifesto dan dana daripada BN, UPKO dengan mudah meninggalkan kita begitu sahaja, seolah-olah persahabatan dan perjuangan bersama kita selama ini tidak bermakna langsung,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap masa depan PBS di bawah pimpinan Maximus, apa lagi dengan pengalaman serta kewibawaan Ahli Parlimen Kota Marudu itu mengembalikan kegemilangan parti berkenaan. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *