Monyet ‘culik’ bayi hingga maut

Bayi yang maut dibawa lari monyet. – FOTO/AGENSI

NEW DELHI: Seorang bayi yang baru berusia 12 hari maut selepas diculik dan dibunuh seekor monyet.

Pegawai polis bertugas di balai polis Sikandra, Ajay Kaushal berkata, sekumpulan monyet memasuki rumah mangsa dan merampas bayi itu yang sedang disusukan ibunya sebelum melarikan diri.

“Haiwan terbabit menggigit kepala bayi malang berkenaan dan meninggalkan mangsa apabila dikejar orang ramai bersenjatakan kayu dan batu,” katanya.

Mangsa yang berlumuran darah dikejarkan ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

Insiden itu berlaku di pekan Runkata di pinggir Agra, lokasi menempatkan monumen paling terkenal India, Taj Mahal.

Aktivis alam sekitar tempatan, Shravan Kumar Sings berkata, haiwan seperti monyet menjadi semakin agresif kerana kemusnahan habitat asal akibat pembangunan berleluasa.

“Monyet ini berkeliaran di Agra. Ia boleh dilihat di kesemua lima stesen kereta api di bandar, hopital, hotel dan jalan raya. Semua mahu mencari makanan tetapi pada masa sama turut menyerang orang ramai,” katanya.

Pada Mei lalu, dua pelancong asing diserang sekumpulan monyet ketika sedang melawat Taj Mahal. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *