Lantikan Semula Penjawat Awam Berusia 60 Tahun dihentikan, Beri Peluang Pegawai Pelapis – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukan lebih RM700 juta setahun untuk menampung emolumen 21,020 penjawat awam dalam perkhidmatan awam negeri Sabah termasuk 1,639 pegawai kumpulan pengursan dan profesional daripada pelbagai skim perkhidmatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie berkata sehubungan itu perancangan teliti dan berkesan dalam pengurusan sumber manusia perlu diberi fokus utama kerana penjawat awam merupakan aset dan sumber penting untuk memacu pembangunan dan kemakmuran negeri ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri memberikan perhatian berat dan sedang melaksanakan pelan penggantian yang sistematik untuk menyediakan pelapis atau pengganti kepada pegawai-pegawai jawatan strategik yang bakal bersara, berpindah atau dinaikkan pangkat.

“Menerusi pelan ini, kerajaan negeri komited melaksanakan beberapa inisiatif dengan matlamat untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam negeri Sabah.

“Antaranya ialah memantapkan struktur organisasi melalui penubuhan bahagian biasiswa dan latihan perkhidmatan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS) yang akan mengawal selia biasiswa dan latihan kepada penjawat awam berkuatkuasa 1 Januari 2019.

“Selain itu, Insititut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) akan digabungkan dengan JPANS bertujuan menyelaraskan program pembangunan latihan sektor awam negari termasuklah latihan kemahiran dan latihan kompetensi,” katanya dalam sesi soal jawab semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu), adakah kerajaan negeri mempunyai pelan penggantian untuk jawatan kanan di dalam perkhidmatan awam negeri.

Mohd Shafie menambah, kerajaan negeri juga meletakkan sasaran peningkatan peratusan jawatan bagi kumpulan pengurusan dan profesional daripada enam kepada 10 peratus iaitu 1,800 jawatan kepada 2,800 jawatan dalam tempoh lima tahun.

Katanya, inisiatif itu bakal menarik lebih ramai bakat berpotensi untuk memantap jentera perkhidmatan awam negeri agar lebih berdaya saing.

Selain itu, katanya kerajaan negeri dalam pembentangan bajet 2019 mencadangkan Program Latihan Pembangunan Eksekutif diberikan peruntukan sebanyak RM8 juta untuk 2019, bertujuan meningkatkan kemahiran, kompetensi dan keupayaan penjawat awam selaras dengan hasarat kerajaan untuk meningkatkan kompetensi perkhidmatan awam negeri.

Bagi memastikan pelan penggantian dapat dilaksanakan dengan berkesan, beliau berkata kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk menghentikan pelantikan smeula selepas bersara wajib 60 tahun bertujuan memberikan peluang kenaikan pangkat kepada pegawai pelapis yang memenuhi kriteria yang diperlukan.

Sumber – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *