Enam Dalang Sindiket Judi Ditahan, JSJ Sabah Serius Benteras Judi Haram

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun (tiga kiri) menunjukkan beberapa barang kes yang melibatkan hasil tangkapan aktiviti perjudian awal bulan November sehingga Isnin lepas pada sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seramai enam lelaki yang dipercayai menjadi dalang kepada sindiket perjudian di negeri ini dibuang daerah dan disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata kesemua mereka ditahan dalam satu operasi, Op Dadu, yang dijalankan secara berterusan oleh JSJ Sabah sejak awal tahun ini.

“Seramai 1,269 individu telah ditahan dalam Op Dadu ini yang dibuat berdasarkan risikan sepasukan pegawai dan anggota JSJ Sabah serta hasil aduan orang awam. Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 262 tangkapan adalah wanita.

Sejumlah wang tunai dan syiling serta buku resit dan kalkulator antara barang kes yang dirampas JSJ Sabah hasil daripada tangkapan aktiviti perjudian awal bulan November sehingga Isnin lepas pada sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“JSJ Sabah juga turut merekodkan rampasan wang tunai dan peralatan judi yang dianggarkan mencecah RM700,000 dari Januari sehingga awal bulan ini,” katanya pada sidang media tangkapan Op Dadu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, pagi tadi.

Menurut Jauteh, pada awal November sehingga Isnin lalu pihak JSJ Sabah merekodkan rampasan wang tunai berjumlah RM60,000 serta peralatan judi bernilai RM150,000 dalam 73 siri serbuan yang dilakukan.

“Sejumlah wang tunai yang dipercayai digunakan sebagai taruhan dan habuan dirampas bersama beberapa peralatan judi seperti pencetak resit, telefon bimbit, buku resit, kalkulator dan set pertaruhan judi yang dikenali ‘ketam-ketam’,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun (kanan) bersama pegawainya melihat beberapa barang kes yang melibatkan hasil tangkapan aktiviti perjudian awal bulan November sehingga Isnin lepas pada sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah juga berjaya menahan seramai 115 individu yang menjalankan judi nombor ekor empat angka serta ‘wahui’. Daripada jumlah ini, seramai 80 lelaki dan selebihnya wanita aktif dalam aktiviti haram tersebut.

Tambahnya, daerah Kota Kinabalu telah merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 100 serbuan diikuti Penampang dan Sandakan masing-masing 92 dan 81 serbuan.

“Kita menggelarkan mereka ini semua sebagai ‘hantu judi’ disebabkan kegiatan haram mereka ini berselindung pada perniagaan harian mereka yang terdiri dari peruncit, pekerja kedai menjual telefon dan ada diantara mereka ini menjalankannya secara sambilan,” jelasnya.

Ketika ditanya sejauh mana masalah perjudian di negeri ini Jauteh menjawab, keadaan perjudian di Sabah dalam keadaan terkawal berikutan tindakan pencegahan berterusan yang dijalankan dan hanya terdapat beberapa di kawasan pedalaman sahaga yang masih menjalan penjualan judi secara haram.

JSJ Sabah dalam masa yang sama menegaskan tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati terlibat dalam penjualan judi haram dan serius akan membanteras secara habis-habisan.

Sumber -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *