Operasi perkhidmatan doktor udara bagi 11 kampung di Sabah tahun depan

KOTA KINABALU, 14 Nov — Perkhidmatan Doktor Udara bagi 11 kampung dalam tiga daerah di Sabah dijangka mula beroperasi pada Mei atau Jun tahun depan selepas proses perolehan selesai dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Stephen berkata perkhidmatan doktor udara itu akan melibatkan lima kampung di Kota Marudu iaitu Kampung Sonsogon Makatol; Kampung Sonsogon Mogis; Kampung Sonsogon Suyad; Kampung Binantungan Suyad; dan Kampung Minsusurud.

Selain itu, katanya, tiga kampung di Nabawan iaitu Kampung Kabu; Kampung Sililiran; dan Kampung Karampalon; dua kampung di Tuaran masing-masing Kampung Talungan dan Kampung Bambangan Ulu serta satu kampung di Penampang iaitu Kampung Longkogugan akan turut sama menikmati manfaat perkhidmatan tersebut.

“Perkhidmatan itu akan memberi kemudahan kepada penduduk di kampung terbabit yang sebelum ini tidak dapat menikmati perkhidmatan kesihatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata selain perkhidmatan doktor udara, satu lagi perkhidmatan kesihatan menggunakan helikopter di Sabah iaitu perkhidmatan Medical Evacuation (MEDEVAC) iaitu penghantaran pesakit dari satu fasiliti kesihatan ke hospital rujukan.

Katanya sejumlah RM4.46 juta telah dibelanjakan untuk memindahkan seramai 269 pesakit dari hospital daerah ke hospital rujukan di Sabah melalui perkhidmatan MEDEVAC sejak September 2017 hingga Oktober 2018.

Dalam pada itu, Stephen berkata, perkhidmatan doktor udara yang telah ditamatkan kontrak pada 2016 masih dalam proses perolehan untuk disambung semula mulai tahun depan.

Sementara menunggu kontrak baharu, perkhidmatan kesihatan kepada sebahagian besar kampung dilawati menerusi perkhidmatan doktor udara telah diambil alih oleh pasukan klinik bergerak darat atau sungai, katanya.

Beliau berkata daripada 60 kampung dilawati menerusi perkhidmatan doktor udara sebelum ini, sejumlah 52 kampung sedang dibuat lawatan bulanan oleh Pasukan Klinik Bergerak Darat dan Sungai.

Dalam perkembangan lain, Stephen berkata, Sabah berpotensi menjadi pilihan utama pelancongan kesihatan di rantau ini kerana adanya hospital swasta diiktiraf selain turut memiliki lokasi pelancongan menawarkan terapi semula jadi; hotel; resort dengan pakej terapi khusus.

Mengenai dasar pewartaan larangan merokok bagi kedai makan terbuka, Stephen berkata, setiap pemilik premis makanan di negeri ini perlu bertanggungjawab mempamerkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok di premis mereka seperti terkandung di bawah Peraturan 12, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis di negara ini termasuk warung tepi jalan, dan tindakan akan diambil terhadap perokok berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *