Sabah Patut Dapat Sebahagian Daripada RM30B Dividen Petronas

KOTA KINABALU: Sabah wajar mendapat sebahagian daripada dividen berjumlah RM30 bilion yang diberikan oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan kerana negeri ini menghasilkan separuh daripada pengeluaran minyak negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Masidi Manjun berkata beliau berharap kerajaan negeri yang baharu boleh mendapatkan dividen khas untuk Sabah memandangkan negeri itu menyumbang kira-kira 50 peratus daripada pengeluaran minyak negara.

Masidi berkata ia merupakan peluang terbaik kerajaan untuk berbuat demikian yang secara tidak langsung menambah royalti sebanyak lima peratus yang Sabah perolehi selama ini.

“Kami berharap pentadbiran baharu boleh duduk semeja dengan kerajaan Persekutuan mengenai bagaimana Sabah boleh mendapat manfaat daripada ini,” katanya semasa membahaskan Bajet Negeri 2019 dalam sidang Dewan Undangan Negeri di sini.

Dalam pembentangan Bajet Persekutuan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengumumkan bahawa Petronas akan memberikan dividen khas sebanyak RM30 bilion untuk membantu ekonomi negara dan menampung kekurangan pendapatan sumber lain.

Masidi yang juga bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri berkata Sabah muncul sebagai penyumbang kepada pendapatan kedua tertinggi bagi industri pelancongan di Malaysia dan sewajarnya diberikan peruntukan lebih hasil kutipan cukai pelancongan negara.

Sabah meraih pendapatan kedua tertinggi hasil cukai pelancongan dengan menyumbang RM4.53 juta, selepas Kuala Lumpur yang menyumbang RM16.6 juta, memandangkan cukai itu dikuatkuasakan pada September tahun lalu.

Beliau juga mencadangkan kerajaan Persekutuan mengembalikan jumlah cukai pelancongan penuh yang dikutip dari Sabah ke negeri ini agar kerajaan negeri dapat melaksanakan projek sendiri untuk meningkatkan industri pelancongan.

“Industri pelancongan Sabah sedang berkembang pesat dan kita perlu bersedia, justeru pendapatan daripada cukai pelancongan boleh digunakan untuk menyokong industri kita,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Sabah tidak seharusnya bergantung kepada pelancong dari China.

Jelasnya, Sabah harus memberi perhatian kepada pelancong domestik yang turut mempunyai banyak kuasa belanja sebagai pelancong luar negara terutama dari China.

“Kerajaan negeri dan pemain industri tempatan perlu membuat pakej istimewa untuk pelancong Malaysia,” katanya.

 

Sumber – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *