Sukar dakwa ‘kaki judi’ dalam talian

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman. NSTP/ASYRAF HAMZAH

KUALA LUMPUR: Kegiatan judi dalam talian yang semakin meruncing dan berani beroperasi secara terbuka menggunakan pelbagai aplikasi berpunca daripada kelompangan perundangan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman, ketika mendedahkan perkara itu berkata ia adalah antara kekangan yang perlu ditangani kerajaan supaya penyelesaian tuntas berupaya dicapai.

“Cabaran kita ialah pusat judi dalam talian ini tidak beroperasi di Malaysia, sebaliknya server (pelayar) mereka berpangkalan di luar negara dan menggunakan protokol internet (IP) berbeza.

“Apabila kita laporkan laman web yang mengendalikan operasi judi dalam talian ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sekat IP, mereka hanya perlu tukar nombor berkenaan.

“Ia sekali gus menyukarkan kita, malah pernah dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia (Gobind Singh Deo) bahawa wujud kira-kira 700,000 talian prabayar yang diragui di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-DAP Kota Melaka) berhubung usaha kerajaan membanteras penularan operasi judi dalam talian, selain menggunakan peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 terhadap dalang kegiatan berkenaan.

Berdasarkan operasi sebelum ini, Azis berkata, pihak berkuasa berdepan cabaran untuk membanteras judi dalam talian kerana kegiatan terbabit tidak membabitkan sebarang transaksi tunai.

Katanya, modus operandi sedemikian menyebabkan pihak berkuasa tidak mempunyai bukti atau sebab untuk ‘kaki judi’ dalam talian ditahan dan disabitkan bersalah.

“Kita tangkap tapi mereka kata hanya main ‘game’ dan muat turun aplikasi, selain tidak membabitkan sebarang transaksi tunai.

“Mengenai penggunaan AMLATFPUAA, ia sedang dirujuk kepada unit perundangan kementerian kerana operasi ini tidak babitkan transaksi tunai,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berhubung penularan kegiatan judi haram, Azis berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sukar membanteras isu berkenaan berikutan faktor tertentu.

Sindiket itu, katanya, akan memohon lesen lain menggunakan nama syarikat baharu, selain menyamar menerusi operasi pusat permainan dan hiburan keluarga.

“Polis tutup hari ini, esok mereka (pemilik) akan mohon lesen baharu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi sukar nak tangani,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *