Perintah berkurung ESSZONE dilanjut bagi fasa ke-101

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi bagi fasa ke-101.

Tempoh perintah berkurung fasa baharu itu dilanjutkan mulai esok hingga 27 November yang berkuat kuasa dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata perintah berkurung itu dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.

“Peraturan ini meliputi tujuh daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Oleh itu, orang ramai di daerah terbabit dinasihatkan supaya tidak berada di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Omar berkata, lanjutan perintah berkurung itu bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas, terutama kumpulan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) dan kumpulan Abu Sayyaf yang masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah penculikan serta lain-lain jenayah rentas sempadan.

“Selain itu, ia bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini yang menjadi pengguna perairan, begitu juga di daratan kawasan ESSZONE serta memudahkan pemantauan terhadap pergerakan bot yang mencurigakan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah (di kawasan ESSZONE) untuk mengeluarkan permit kepada pemohon (penduduk), dengan memenuhi syarat bagi tujuan aktiviti perikanan atau laluan melalui kawasan perintah berkurung yang mendesak,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *