Sabah beri tumpuan terhadap sektor pendidikan – Mohd Shafie

SEMPORNA, 11 Nov – Kerajaan negeri memberi penekanan dan tumpuan terhadap sekor pendidikan yang penting untuk melahirkan modal insan untuk membantu usaha membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata komitmen awal yang dibuat adalah dengan mewujudkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi yang memberi penekanan tentang sektor pendidikan.

Katanya biarpun berhadapan kekangan kewangan untuk dibelanjakan bagi melonjakkan sektor pendidikan di negeri ini tetapi kerajaan negeri yakin pada masa akan datang ia mampu dilaksanakan.

“Yang penting peringkat awal ini kita laksana beberapa penstrukturan dan melahirkan beberapa terma yang baik.

“Apabila kewangan mencukupi kita akan dapat menyempurnakan apa yang kita hasratkan untuk melahirkan modal insan yang amat diperlukan untuk membangunkan negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Amanat Bersama Warga Pendidik Semporna di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibol.

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut melancarkan Buletin Kegiatan Pejabat Pendidikan Daerah Semporna.

Mohd Shafie berkata komitmen itu dapat dilihat dalam Belanjawan 2019 oleh kerajaan pusat dengan jumlah cukup besar untuk sektor pendidikan yang mencecah RM60 bilion.

Beliau yakin pimpinan negara diketuai Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad amat menitikberatkan bahawa sektor pendidikan perlu diberi penekanan bukan hanya daripada jumlah kewangan tetapi membabitkan penstrukturan sistem pendidikan yang digunakan.

Katanya sistem pendidikan yang menjadi tumpuan terhadap sains dan matematik merupakan satu landasan usaha untuk memajukan negara berasaskan perindustrian dan mampu bersaing dengan negara maju.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *