Kerajaan Sabah lancar program bebas sampah

SEMPORNA, 11 Nov — Kerajaan negeri hari melancarkan program “Sabah Bebas Sampah” dalam usaha memupuk kesedaran tentang aspek menjaga kebersihan di kalangan  masyarakat  disamping menunjukkan bahawa kerajaan negeri memandang  serius terhadap tahap kebersihan di semua daerah di negeri ini.

Pelancaran  program perintis itu di sini  disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Pemilihan daerah itu untuk pelancaran program adalah  sejajar dengan perhatian yang  diberikan oleh Mohd Shafie yang tidak berpuas hati terhadap tahap kebersihan di daerah itu.

Dalam ucapannya, Shafie yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)  kawasan Senallang berkata pada masa sekarang sampah sarap ada di merata tempat sama ada di darat atau lautan di daerah ini.

Katanya penduduk daerah ini harus  bertanggungjawab  terhadap masalah kebersihan yang dihadapi di daerah ini.

“Sebagai daerah yang punya tarikan pelancongan berasaskan alam semulajadi dan marin, masyarakat memainkan peranan penting untuk tidak membuang sampah di merata tempat termasuk di kawasan kampung mereka.

“Saya tidak mahu Semporna dikenali  sebagai daerah yang kotor tetapi sebagai daerah yang terkenal dengan tarikan pelancongan,” katanya.

Justeru, beliau mahu Majlis Daerah Semporna menjadikan tahap kebersihan di daerah ini sebagai Indeks Pencapaian Utama dan dipantau sendiri oleh Pegawai Daerah Blanus Kontong.

Mohd Shafie berkata selepas Semporna, program itu akan diperluaskan di daerah lain di negeri ini bagi memastikan masalah kebersihan tidak menjejaskan sektor pelancongan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *