Rafizi atasi Azmin dengan 3 undi pemilihan semula di Keningau

KENINGAU: Rafizi Ramli memenangi saingan pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR dengan perbezaan tiga undi mengalahkan pencabarnya, Datuk Seri Mohd Azmin Ali pada pemilihan semula cabang Keningau, hari ini.

Berdasarkan keputusan pemilihan, Rafizi mendapat 624 undi, manakala Mohd Azmin sebanyak 621 undi, dengan Rafizi kini menang di sembilan daripada 25 cabang PKR seluruh Sabah.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Cabang, pemangku Ketua Cabang Keningau, Johari Tahir kalah di tangan pencabar terdekatnya, Datuk Dr Sangkar Rasam dengan perbezaan 363 undi.

Sangkar mendapat 816 undi berbanding 453 undi diperolehi Johari, manakala seorang lagi calon, Haslina Abin Kassim mendapat 330 undi.

Pemilihan semula yang diadakan di Kompleks Sukan Keningau, di sini yang dijalankan serentak dengan pemilihan di Sarawak tamat jam 4.15 petang tadi.

Pemantau pemilihan pusat pengundian, Suryamuizzudin Kamarudin, berkata secara keseluruhan proses pengundian berjalan lancar dengan seramai 2,745 daripada kira-kira 6,000 ahli bagi cabang Keningau keluar mengundi.

“Pengiraan undi lewat sedikit disebabkan isu internet,” katanya mengulas punca keputusan pemilihan yang mengambil masa dua jam sebelum diumumkan.

Pemilihan semula di cabang Keningau diadakan berikutan kekecohan yang turut menyebabkan Rafizi dikasari berlaku ketika pengundian di cabang itu pada minggu lalu.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *