SPRM perlu beri penjelasan kenapa tidak dakwa Musa Aman dahulu – PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai alasan tertentu mengapa tidak mendakwa bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkait kes rasuah pada 2012.

Perdana Menteri berkata, beliau juga percaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus memberi penjelasan kenapa Musa tidak didakwa dahulu.

“Saya rasa ada sebab bagi beliau (Gani) dan saya rasa kita akan melihat sedikit penjelasan akan dibuat dan mungkin bukan dari beliau (Gani) sendiri, tentang situasi sebenar ketika itu, ketika perkara itu berlaku.

“Biarpun jika anda memberi penjelasan, ia tidak akan banyak membantu, pihak lain yang perlu jelaskan, SPRM yang perlu jelaskan mengapa pada waktu itu tiada pendakwaan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Abdul Gani memberi penjelasan mengapa beliau tidak mendakwa Musa.

Katanya, adakah Abdul Gani tidak mendakwa Musa kerana beliau takut dengan Musa atau bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

“Atau adakah Abdul Gani mempunyai kaitan dengan Musa? Abdul Gani mesti menjelaskan keputusannya dan melenyapkan syak wasangka terhadap beliau,” katanya dalam kenyataan semalam

Musa didakwa di mahkamah pada Isnin lalu dan berdepan 35 pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima RM253 juta rasuah berkaitan kontrak pembalakan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *