SPRM terus tingkat usaha kurangkan kes rasuah penjawat awam – SPRM Sabah

KOTA KINABALU, 7 Nov — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah akan terus berusaha meningkatkan tahap kesedaran untuk memastikan statistik penjawat awam terlibat dalam gejala rasuah dapat dibendung pada masa depan.

Pengarahnya, Datuk Sazali Salbi berkata, meskipun penglibatan penjawat awam dalam gejala rasuah masih terkawal di Sabah, namun usaha penekanan tahap kesedaran perlu dirancang di peringkat awal.

Katanya, kerjasama daripada semua peringkat amat dialu-alukan untuk memastikan aduan yang diterima dapat diambil tindakan dalam tempoh terdekat.

“Aduan daripada orang awam sangat diharapkan oleh SPRM. Kita hanya mempunyai 120 kakitangan di Seluruh negeri, masih tidak mencukupi untuk membenteras gelaja rasuah ini.

“Oleh itu aduan yang diterima daripada orang awam sangat penting, jika tiada aduan pihak SPRM tidak dapat mengambil tindakan sekali gus tidak mampu melaksanakan tugasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perlawanan boling persahabatan membabitkan empat agensi iaitu, Persatuan Bermotosikal Berkuasa Tinggi Sabah (SBBA), SPRM, RTM Sabah dan Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah, di Kota Kinabalu.

Sazali berkata, selain itu pihaknya akan menjalinkan kerjasama pintar dengan beberapa agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membolehkan mereka bekerjasama menyalurkan maklumat untuk membanteras gelaja rasuah di peringkat akar umbi.

Dalam perlawanan persahabatan itu, pasukan RTM Sabah diumumkan juara keseluruhan, naib juara SPRM dan SBBA di tempat ketiga.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *