Polis tingkat kawalan di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pasukan polis mula memantau pergerakan orang ramai di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, menjelang beberapa jam lagi Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan berkaitan isu pertikaian Ketua Menteri Sabah.

Anggota polis dilihat melakukan rondaan di dalam dan luar mahkamah bagi memastikan ketenteraman awam susulan penyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Tan Sri Musa Aman dijangka berkumpul sebelum keputusan Mahkamah Tinggi yang dijadualkan pada 2.30 petang.

Polis juga sudah membahagikan kawasan untuk penyokong kedua-dua pihak, namun sehingga jam 11.30 pagi tadi, kawasan perhimpunan untuk penyokong Mohd Shafie dan Musa masih kosong.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, selain sekitar mahkamah, polis juga menempatkan anggota di kawasan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

“Kita meminta orang ramai tidak mencetuskan keadaan yang boleh mengancam keselamatan orang awam. Jika keadaan ini berlaku, kita tidak akan bertolak ansur dan akan menangkap sesiapa yang terbabit, namun setakat ini keadaan terkawal,” katanya.

Pada Jun lalu, Musa memfailkan saman dengan sokongan afidavit terhadap Mohd Shafie dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, berkaitan dengan pelantikan ketua menteri.

Saman itu antara lain bertujuan mendapatkan pengisytiharan bahawa Musa adalah ketua menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa angkat sumpah Mohd Shafie sebagai ketua menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *