Musa Aman kecewa, arah peguam buat rayuan

KOTA KINABALU: Tan Sri Musa Aman menzahirkan kekecewaannya dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengekalkan status Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Menerusi satu kenyatan, Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah telah mengarahkan peguamnya untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu turut berpendapat bahawa isu itu belum selesai sepenuhnya selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan samannya ditolak memandangkan Musa telah kehilangan majoriti apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak keluar parti dan menyebelahi Mohd Shafie.

“Sudah tentu saya berasa kecewa dengan keputusan hari ini. Bagaimanapun suka saya tekankan bahawa isu ini bukan soal sama ada saya menjadi ketua menteri atau tidak,” katanya dalam kenyataan itu.

“Ini soal mengenai keluhuran dan tafsiran sebenar terhadap Perlembagaan Negeri serta kuasa Yang Dipertua Negeri Sabah untuk melantik dan memecat ketua menteri,” tambah Musa.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak kesemua kes saman yang dipohon daripada Musa terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Mohd Shafie sekali gus mengekalkan status Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie memberikan keputusannya pada pukul 4.10 petang ini terhadap saman pemula yang dikemukakan oleh Musa bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri yang baharu kerana mendakwa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Musa turut diarahkan membayar kos guaman sejumlah RM15,000 kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan jumlah yang sama kepada Mohd Shafie. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *