Keluarga mangsa nahas Lion Air tuntut jawapan

Ahli keluarga penumpang serta kru Lion Air JT-610 menabur bunga di lokasi pesawat itu terhempas di Tanjung Karawang. – Reuters

Jakarta: Ahli keluarga mangsa nahas pesawat Lion Air yang terhempas mendesak jawapan daripada pemilik syarikat penerbangan itu dalam satu pertemuan yang penuh emosi, kelmarin.

Mereka juga mendesak pemilik Lion Air, Rusdi Kirana memberitahu mengapa pesawat itu yang didapati mengalami masalah teknikal diberi kebenaran terbang.

Mail Online melaporkan, mereka juga mempersoalkan peranan pegawai Indonesia termasuk menteri pengangkutan dan ketua Jawatan Kuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT).

Dalam pertemuan berkenaan, ahli keluarga mangsa menggesa Rusdi yang turut hadir untuk bangun.

Rusdi bangun tetapi tidak berkata apa-apa. Dia hanya merapatkan kedua-dua belah tangannya dan menundukkan kepala tanda meminta maaf.

Selepas pertemuan itu, Rusdi bergegas pergi dan mengelak menjawab soalan wartawan.

Sejak syarikat itu diasaskan adik-beradik Kirana pada 1999, ia terbabit dengan 15 insiden keselamatan dan dikenakan sekatan keselamatan lebih ketat berbanding syarikat lain.

Penerbangan Lion Air dari Jakarta ke Pangkal Pinang terhempas di Laut Jawa pada 29 Oktober lalu menyebabkan semua 189 penumpang dan anak kapal maut.

Polis Indonesia memberitahu, sehingga semalam 163 beg berisi cebisan mayat dibawa ke hospital untuk proses pengecaman.

Daripada jumlah itu, 27 cebisan mayat dikenal pasti jantinanya iaitu sembilan perempuan dan 18 lelaki.

Seorang bapa mangsa, Muhammad Bambang Sukandar berkata, juruteknik Lion Air perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana mereka gagal membaiki kerosakan selepas penerbangan dari Denpasar ke Jakarta.

“Adakah perkara ini tidak penting? Ini nyawa manusia. Jangan biarkan perkara seperti ini kerap berlaku di Indonesia,” katanya dengan suara tersekat-sekat. – Agensi

Ahli keluarga penumpang serta kru Lion Air JT-610 menabur bunga di lokasi pesawat itu terhempas di Tanjung Karawang.
Ahli keluarga penumpang serta kru Lion Air JT-610 menabur bunga di lokasi pesawat itu terhempas di Tanjung Karawang.
Ahli keluarga penumpang serta kru Lion Air JT-610 menabur bunga di lokasi pesawat itu terhempas di Tanjung Karawang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *